BERITA TERKINI   Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | 

IDAC Labuan Diunjur Raih US$1 Bilion Menerusi Aset Digital Patuh Syariah

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 8 Nov (Bernama) -- Pusat Aset Digital Islam (IDAC) Labuan yang dilancarkan pada 2022, berjaya mencatat pencapaian bermakna dengan aset digital terkumpulnya mencecah US$820 juta, setakat ini.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Nik Mohamed Din Nik Musa berkata pencapaian itu termasuk empat token sekuriti patuh Syariah dikenali sebagai RAMZ serta sembilan penyenaraian baharu di bursa digital Labuan.

Sehubungan itu, beliau berkata pusat itu diunjur meraih US$1 bilion dalam aset digital Syariah patuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) menjelang akhir tahun ini.

“Pencapaian ini penting dalam usaha meluaskan akses aset digital patuh Syariah dan ESG di seluruh dunia," katanya pada Siri Syarahan Kewangan Antarabangsa Labuan 2024 bertemakan ‘Synergising Digital Innovation and Islamic Finance' di sini, hari ini.

Program itu disertai kira-kira 200 pemimpin industri dan pakar bagi membincangkan transformasi digital dalam bidang kewangan Islam.

Nik Mohamed Din berkata Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) berperanan sebagai hab kewangan digital Islam dan dipacu oleh insentif baharu sifar peratus bagi entiti Labuan dalam aktiviti kewangan Islam.

Beliau berkata insentif juga disasarkan untuk memacu sektor seperti takaful dan perniagaan berkaitan di Labuan, sekali gus membolehkan IBFC melancarkan produk-produk inovatif digital untuk kemudahan pasaran yang tidak serta kurang mendapat perkhidmatan itu di peringkat global.

“Insentif cukai itu dijangka melonjakkan peranan Labuan sebagai peneraju dalam penyelesaian kewangan mampan dan Islam,” katanya.

Nik Mohamed Din turut menegaskan kepentingan peranan inovasi digital dalam memajukan kewangan Islam manakala penyepaduan teknologi kewangan dan kewangan Islam dapat menyuntik peluang unik bagi meningkatkan aspek ketelusan, keadilan, keselamatan serta kecekapan dalam sistem kewangan. 

Pada masa sama, beliau menyifatkan penumpuan digital dapat membentuk semula industri kewangan dan memupuk keterangkuman lebih besar dalam era digital.

Siri ceramah itu dimulakan oleh Pengarah Negara dan Ketua Perniagaan ASEAN World Remit yang juga bekas presiden Persatuan Fintech Malaysia Mohammad Ridzuan Abdul Aziz.

Sesi perkongsiannya bertajuk ‘Harnessing Digital Transformation through Artificial Intelligence (AI) Initiatives and Blockchain Innovation,’ mengetengahkan kemajuan AI dan teknologi blockchain dalam transformasi peranan di sektor kewangan.

--BERNAMA