BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Felda Umum FGV Keluar Bursa Malaysia Bermula Hari Ini

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) --  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memaklumkan bahawa FGV Holdings Bhd (FGV) telah secara rasmi keluar daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd berkuatkuasa pada 9 pagi, hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Felda berkata perkara tersebut dibuat selepas saham FGV digantung daripada dagangan pada 25 Ogos lalu.

“Sehingga kini, Felda bersama pihak yang melaksanakan langkah pelaburan untuk mencapai matlamat yang sama atau persons acting in concert (PACs) telah memiliki 95.29 pertus daripada jumlah keseluruhan saham FGV.

“Pemegang saham yang menolak tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat (Dissenting Holders) masih boleh melaksanakan hak bagi menjual pegangan saham FGV sehingga 15 Jan, 2026 sebelum 5 petang selaras notis Felda kepada pemegang saham bertarikh 22 Ogos,” kata Felda.

Menurut Felda, penyahsenaraian FGV menandakan permulaan fasa baharu bagi lembaga tersebut dalam memperkukuh struktur korporat, mengoptimumkan operasi ladang dan meningkatkan pulangan ekonomi kepada Felda serta pemegang taruh utama iaitu peneroka.

“Dengan FGV kini tidak lagi tersenarai di Bursa Malaysia, Felda boleh mengawal rantaian nilai industri sawit sepenuhnya, termasuk pengurusan hasil dan kos operasi ladang, sekali gus meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos, serta memaksimumkan pulangan secara konsisten.

“Felda yakin bahawa dengan penyusunan semula ekosistem Kumpulan Felda secara menyeluruh, pertumbuhan yang lebih mampan dapat dipacu, daya saing di peringkat global dapat dipertingkat, dan kesejahteraan komuniti peneroka akan terus terjamin untuk jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA