BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Menara Jendela: U Mobile Siapkan 78 Daripada 81 Projek Yang Diberikan 

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi U Mobile berjaya menyiapkan 78 daripada 81 menara yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pencapaian syarikat itu jauh lebih baik berbanding beberapa syarikat telekomunikasi lain yang terlibat dalam projek sama, yang mengambil masa lebih lama untuk mengoperasikan menara mereka.

“Ada sesetengah tempat kita dapati menara dah siap tujuh, lapan bulan, sembilan bulan, masih belum (beroperasi). Jadi saya dah minta pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti dan mengeluarkan arahan kepada syarikat Telco jangan lengah masa, segera siapkan,” katanya. 

Bercakap kepada pemberita selepas melawat projek menara JENDELA di Kampung Sungai Aur di sini, hari ini, beliau berkata bagi projek SMART 600 yang dilaksanakan kerajaan Sarawak, sebanyak 325 menara telah siap dan beroperasi.

“Harapan saya dengan dana sebanyak RM42 juta yang disediakan oleh pihak MCMC bagi pengoperasian menara-menara (SMART 600) ini, lebih banyak menara akan siap dan rakyat akan dapat manfaat,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata satu projek rintis telekomunikasi menggunakan teknologi Low Earth Orbit Satellite (LEO Satellite) bakal dilaksanakan menjelang pertengahan tahun depan.

Beliau berkata projek rintis itu bertujuan memanfaatkan teknologi berkenaan, yang membolehkan perkhidmatan telekomunikasi disalurkan terus ke peranti tanpa perlu melalui menara telekomunikasi. 

“Ini bermaksud bagi syarikat telco yang terlibat ataupun yang menempah perkhidmatan direct to device ini, kemungkinan di mana saja kita berada, sekiranya langit terbuka cerah seperti ini, bukan dalam hutan, maka ada basic line yang boleh kita manfaatkan terutama untuk keadaan-keadaan kecemasan,” tambahnya.

-- BERNAMA