BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Menguncup 13.9 Peratus Kepada 30,929 Tan Pada September - DOSM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia menguncup 13.9 peratus kepada 30,929 tan pada September 2024 daripada 35,908 tan pada Ogos 2024, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 5.6 peratus daripada 32,757 tan pada September 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil iaitu pada 85.9 peratus berbanding sektor estet pada 14.1 peratus.

"Jumlah stok getah asli pada September 2024 menurun 1.6 peratus kepada 130,608 tan daripada 132,755 tan pada Ogos 2024.

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.6 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 11.2 peratus dan estet getah sebanyak 0.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, eksport getah asli berjumlah 39,915 tan pada September 2024, menurun 30.6 peratus daripada Ogos 2024 iaitu 57,482 tan, disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

DOSM berkata China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 32.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2024 diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.6 peratus), Jerman (11.7 peratus), Amerika Syarikat (6.6 peratus) dan Portugal  sebanyak 5.3 peratus.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 billion pada September 2024, menurun 23.0 peratus daripada Ogos 2024 iaitu sebanyak RM1.6 billion,” katanya.

Kata DOSM, menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran September 2024, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan aliran meningkat dengan harga SMR 20 turun naik dalam julat yang kecil.

“Sentimen positif dipacu oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad kerana ramalan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar utama.

“Keyakinan global juga meningkat selepas pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat yang ketara dan langkah rangsangan China,” katanya.

-- BERNAMA