BERITA TERKINI   Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | 

MIDA Kenal Pasti 12 Syarikat Mesir Berminat Teroka Pelaburan Di Malaysia

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti 12 syarikat pembuatan terkemuka Mesir yang berminat untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata syarikat itu berminat meneroka pelaburan dalam sektor farmaseutikal, peranti perubatan, aeroangkasa dan petrokimia.

Wakil syarikat pembuatan itu menyatakan minat masing-masing semasa menyertai mesyuarat meja bulat yang diadakan di sini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir yang berakhir hari ini.

“Mesyuarat meja bulat ini telah dihadiri sekitar 60 pemimpin industri dan perniagaan daripada 47 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Mesir,” katanya dalam sidang media pada hari terakhir lawatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 28 syarikat industri bernilai tinggi termasuk dalam sektor automotif, kimia dan oleokimia, makanan, produk berasaskan minyak sawit, penjagaan peribadi, tenaga boleh baharu, logistik, kewangan dan pembinaan telah dijemput ke sesi meja bulat itu.

Tengku Zafrul berkata kesemua syarikat itu kini mengimport barangan dan perkhidmataan dari Malaysia bernilai RM505.2 juta.

“Mesyuarat meja bulat ini telah menghasilkan potensi eksport bernilai RM4.8 bilion. Ini menunjukkan peluang perdagangan yang besar, khususnya dalam sektor inovasi bernilai tinggi yang ditetapkan mengikut Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030,” katanya.

Beliau berkata wakil syarikat yang hadir pada sidang meja bulat itu turut menyatakan minat masing-masing untuk memperoleh pelbagai produk dan perkhidmatan dari pembekal Malaysia.

Barangan itu termasuk alat ganti dan komponen automotif, minyak sawit, minyak dan lelemak makan, oleokimia, bahan pencuci, bahah kimia khas, panel solar dan “inverter”, bahan binaan, serta produk makanan dan minuman, katanya.

-- BERNAMA