BERITA TERKINI   Harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia mulai Julai - PM Anwar | Penggunaan MyKad bagi pembelian diesel RM2.10 seliter bagi elak ketirisan - PM Anwar | Dakwaan kebocoran data yang tular di media sosial merujuk insiden lama sebelum 2022, tiada kaitan platform semasa - MKN | 

Yayasan Bank Rakyat Terima Anugerah ACES 2024 Atas Sumbangan Tingkat Sosioekonomi Rakyat

BANGKOK, 15 Nov (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima anugerah “Inisiatif Komuniti” pada Majlis Anugerah Asia Corporate Excellence & Sustainability (ACES) 2024 sebagai pengiktirafan atas sumbangannya meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata anugerah ini merupakan pencapaian tertinggi YBR sejak penubuhannya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, tanpa mengira bangsa, kaum, dan agama.

"Pengiktirafan ini membuktikan kesungguhan YBR serta komitmen kami terhadap pemerkasaan masyarakat selaras dengan matlamat pembangunan lestari di Malaysia.

“Kami komited dan akan terus menggandakan usaha untuk memajukan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui inisiatif yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis Anugerah ACES yang diadakan pada Khamis itu disempurnakan oleh Rakan Kongsi Pengurusan Aubrens Sdn. Bhd, Dr. Jayanthi Desan, bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Naterial Concept; Business Leader Adeo Group; dan Penasihat Anugerah ACES, Luis Bueno Nieto.

YBR diwakili oleh Philip dan Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Philip berkata pengiktirafan julung kali yang diterima oleh YBR ini adalah atas usaha mereka dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta pelbagai program komuniti sepanjang 2023 yang menyasarkan golongan kurang bernasib baik.

Selain itu, katanya, penghargaan tersebut turut mencerminkan komitmen YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik dan menjadi penanda aras untuk terus berbakti dan memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata YBR telah membelanjakan sebanyak RM28.35 juta sepanjang 2023 untuk peruntukan bantuan pendidikan dan program pemerkasaan masyarakat.

-- BERNAMA