BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Kerjasama Malaysia, Brazil Main Peranan Penting Bantu Kejayaan Yinson

Daripada M.Saraswathi

RIO DI JANEIRO (Brazil), 18 Nov (Bernama) -- Syarikat tenaga dan teknologi global Yinson Holdings Bhd berkata kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada kerajaan Brazil dan Malaysia memainkan peranan penting dalam kejayaan syarikat itu.

"Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang telah dibina bersama-sama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Lim Chern Yuan. 

Beliau berkata anak syarikat kumpulan itu, Yinson Production Pte Ltd, pemilik dan pengendali kapal penyimpanan, pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) utama di dunia, komited untuk menyumbang kepada industri tenaga Brazil pada masa depan.

"Kami mempunyai kedudukan unik untuk mendapat manfaat daripada prospek pasaran yang kukuh memandangkan Brazil merupakan pasaran terbesar bagi unit FPSO,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan unit FPSO Yinson, Maria Quitéria mencapai pengeluaran minyak pertamanya pada 15 Okt, 2024, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Brazil. 

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Lim berkata peristiwa penting itu menandakan bermulanya carter projek tersebut oleh syarikat berkenaan yang mana kadar hari secara kontrak akan dibayar kepada unit kumpulan, Yinson Production bagi tempoh 22.5 tahun sehingga 2047.

Sementara itu, Anwar menerusi ucapannya berkata pelaburan Malaysia di Brazil merupakan antara topik yang dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

Beliau berkata Da Silva memberi jaminan bahawa negara itu akan terus memberikan sokongan kepada Malaysia, terutamanya ketika Malaysia berhasrat meluaskan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

FPSO Maria Quitéria ialah aset kedua yang diserahkan oleh Yinson Production untuk pelanggannya, Petrobras, selepas penghantaran FPSO Anna Nery pada Mei 2023.

FPSO tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran 100,000 tong minyak sehari (bpd) dan kapasiti penyimpanan sebanyak satu juta tong.

Lim berkata kumpulan itu berharap dapat memberi sumbangan bermakna bagi tempoh yang lama yang akan dapat membantu mengukuhkan transformasi tenaga Brazil.

Pada 2023, Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, merupakan rakan dagang ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.

Antara negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar.

-- BERNAMA