BERITA TERKINI   SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Isnin, mencerminkan prestasi bercampur-campur mata wang serantau, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.4765/4820 berbanding unit negara maju daripada 4.4715/4780 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal pada paras tinggi 106 mata, menunjukkan pertambahan permintaan terhadap dolar AS memandangkan peniaga dan pelabur mengelak daripada ketidaktentuan yang meningkat.

"Situasi semasa dilihat lebih memihak kepada dolar AS berikutan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mungkin berhasrat menilai semula pendirian bagi pelonggaran monetarinya apabila presiden yang dipilih Donald Trump menyenaraikan barisan kabinetnya untuk tahun depan," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding pound Britain yang mengukuh kepada 5.6525/6594 daripada 5.6573/6656 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Unit tempatan merosot berbanding euro kepada 4.7294/7352 daripada 4.7224/7292 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8914/8953 daripada 2.8774/8818.

Mata wang tempatan turut menunjukkan prestasi yang kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN kecuali dolar Singapura yang menokok kepada 3.3307/3351 daripada 3.3330/3381 semasa ditutup pada Jumaat.

Ringgit merosot berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64 daripada 7.61/7.63, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 282.2/282.7 daripada 281.6/282.2 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8591/8808 daripada 12.8307/8541.

-- BERNAMA