BERITA TERKINI   Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

Perang Perdagangan AS-China, Peluang Bagi Malaysia Jadi Destinasi Pelaburan Multinasional - MITI

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perubahan kepimpinan di Amerika Syarikat (AS) yang baharu dijangka mampu mempengaruhi landskap perdagangan global khususnya dalam hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata sekiranya isu berkaitan geopolitik berlanjuran terdapat peluang lebih luas untuk negara-negara lain seperti Malaysia menjadi destinasi alternatif bagi syarikat-syarikat multinasional meningkatkan atau memulakan pelaburan mereka.

Menurut MITI, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menarik para pelabur untuk memindahkan atau mengembangkan operasi mereka di Malaysia ekoran dari perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Antara inisiatif tersebut ialah menjadikan industri semikonduktor sebagai program utama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), merangka Strategi Semikonduktor Nasional (SNN) termasuk usaha memodenkan syarikat-syarikat Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) sedia ada, merupakan elemen penting dalam rantaian nilai semikonduktor. 

Selain itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan infrastruktur sedia ada, memberi tumpuan kepada bakat tempatan dan menggalakkan penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melabur dalam syarikat semikonduktor tempatan. 

MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Mohd Syahir ingin tahu apakah pelan kerajaan terhadap pertumbuhan industri semikonduktor seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) di sebalik perang perdagangan AS-China. 

-- BERNAMA