BERITA TERKINI   Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | AXIS REIT sasar jumlah nilai pemerolehan RM300 juta tahun ini - CEO | Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | BNM akan kekalkan pendirian akomodatif dan pastikan kadar OPR kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025 - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | 

Hubungan Dua Hala Baik Dengan Empat Negara Dikunjungi Buahkan Hasil - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Hubungan dua hala Malaysia yang baik dengan empat negara -- Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil yang dikunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak hanya membuahkan hasil, malah turut memudahkan misi kerajaan bagi menarik perniagaan dan pelaburan baharu.

Ketika berkongsi kejayaan itu, Anwar berkata ini boleh dilihat menerusi persetujuan Mesir untuk meningkatkan jumlah import sawit dari Malaysia serta menjadi pelabuhan bagi eksport produk sawit ke negara-negara Afrika yang berjiran dengannya. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Proton Holdings Bhd (Proton) pula mendapat sambutan baik di pasaran Arab dan Afrika, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan terutama menerusi usaha pemasangan tempatan model Proton Saga di Mesir bermula Disember ini.

"Di Brazil, Petronas (Petroliam Nasional Bhd) mendapat lokasi cari gali baharu apabila Presiden Luiz Inacio Lula da Silva sendiri memberi perakuan, tumpuan dan sokongan sejak setahun lepas.

"Begitu juga untuk syarikat Yinson Holdins Bhd dan sebagainya," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berhubung kos lawatan kerjanya selama 11 hari ke empat negara terbabit bermula 9-19 November lepas, Anwar berkata ini dikongsi dengan syarikat-syarikat yang turut menyertai lawatan berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai impak susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara-negara berkenaan serta kos ditanggung kerajaan bagi lawatan berkenaan.

-- BERNAMA