BERITA TERKINI   Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | AXIS REIT sasar jumlah nilai pemerolehan RM300 juta tahun ini - CEO | Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Meningkat Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan momentum kenaikannya minggu hadapan sewaktu konflik Rusia-Ukraine berterusan, kata seorang penganalisis. 

Bagaimanapun, penganalisis itu berkata, jangkaan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh boleh memberi tekanan penurunan pada harga logam berharga tersebut.

Untuk minggu yang baru berakhir, niaga hadapan emas kebanyakannya diniagakan lebih tinggi, mengikuti kenaikan yang stabil di pasaran emas Bursa Komoditi New York (COMEX), AS sewaktu perang Rusia-Ukraine berterusan.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November mengakhiri minggu ini lebih tinggi kepada US$2,698.70 setiap auns troy daripada US$2,572.30 setiap auns troy minggu lepas.

Sementara itu, kontrak Disember 2024, Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 juga ditutup lebih tinggi kepada US$2,712.10 setiap auns troy daripada US$2,585.80 minggu lepas.

Jumlah dagangan susut kepada 39 lot daripada 45 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 28 kontrak daripada 36 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 21 Nov, 2024, harga emas fizikal berada pada US$2,665.30 setiap auns troy.

-- BERNAMA