BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Dalam Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) --  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam kecenderungan meningkat minggu depan, didorong oleh aktiviti pembelian semasa harga murah yang berpotensi selepas penjualan menurun baru-baru ini, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan pengeluaran yang lebih rendah mungkin menaikkan sentimen dalam pasaran.

“Ini akan berlaku apabila kita memasuki tempoh pengeluaran lebih rendah secara bermusim untuk minyak sawit.

"Kami menjangkakan harga akan meningkat antara RM4,600 dan RM4,900 (setiap tan) minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata kontrak niaga hadapan MSM dijangka didagangkan lebih rendah pada minggu akan datang disebabkan aktiviti pengambilan untung berikutan kenaikan baru-baru ini.

Beliau berkata permintaan fizikal untuk MSM akan datang dari India, China, Pakistan, negara Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Kami menjangkakan harga akan berada dalam julat antara RM4,000 dan RM4,200 (setiap tan) minggu depan,” kata Teh.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Disember 2024 turun RM329 kepada RM4,790 satu tan, Januari 2025 merosot RM374 kepada RM4,714 setan dan Februari 2025 jatuh RM411 kepada RM4,642 satu tan.

Kontrak Mac 2025 berkurangan RM405 kepada RM4,547 setan dan April 2025 menguncup RM372 kepada RM4,458 satu tan.

Dalam pada itu, kontrak bulan semerta baharu Mei 2025 pada RM4,373 setan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 532,086 lot daripada 624,489 minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 239,910 kontrak daripada 253,114 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan pada RM4,950 satu tan.

-- BERNAMA