BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Sarawak Bakal Ambil Alih MASwings Bulan Depan

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual beli untuk MASwings, anak syarikat penerbangan serantau Malaysia Aviation Group (MAG) bulan depan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penubuhan syarikat penerbangan Sarawak tersebut bertujuan mempromosikan negeri itu kepada komuniti perniagaan dan pelancong.

“Dengan lapangan terbang yang dibangunkan dengan baik, keseluruhan ekosistem di Sarawak akan bersedia, membolehkan kita berdaya saing dengan destinasi lain.

“Matlamat ini dijangka dapat dicapai menjelang 2035 sambil kita terus mencapai kemajuan dalam pembangunan bidang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak di sini, malam ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata rundingan masih dijalankan antara MASwings dan kerajaan Sarawak.

Menurut Loke, rundingan juga sedang dilakukan dengan MAG dan Khazanah Nasional Bhd berhubung pembelian saham dalam MASwings.

-- BERNAMA