BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Bank Negara Malaysia Keluarkan Tiga Syiling Peringatan

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan tiga syiling peringatan berbeza bersempena ulang tahun ke-150 Jabatan Kerja Raya (JKR); ulang tahun ke-50 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan ulang tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China (MCDR).

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf) serta Syiling Peringatan Nordic Gold Brilliant Uncirculated (B.U.).

Bagi Syiling Peringatan Perak Sterling, bank pusat berkata syiling untuk JKR menampilkan syiling berbentuk heksagon yang unik, pertama seumpamanya di Malaysia menyerupai bentuk logo JKR, diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 peratus dan berat 29.9 gram.

“Nilai muka syiling ini adalah RM10, ia dibungkus dalam kotak kayu premium dan dijual pada harga RM440 sekeping,” katanya.

Syiling peringatan untuk RISDA dan MCDR pula diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 peratus dan berat 31 gram, setiap syiling tersebut mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM330 sekeping.

Kuantiti tempaan ialah 1,000 keping untuk setiap reka bentuk.

Sementara itu, Nordic Gold B.U.syiling diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram.

“Syiling itu mempunyai nilai muka RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping,” katanya.

Kuantiti tempaan ialah 5,000 keping untuk setiap reka bentuk.

BNM berkata syiling peringatan itu juga dijual dalam set 2 dalam 1, terdiri daripada sekeping syiling perak sterling berwarna dan sekeping syiling pruf emas Nordic.

Set 2 dalam 1 untuk JKR akan dijual pada harga RM495 manakal bagi RISDA dan MCDR akan dijual pada harga RM385 setiap satu.

Sebanyak 1,000 set tersedia untuk pembelian untuk setiap reka bentuk.

“Untuk menyediakan peluang yang adil kepada orang ramai membeli syiling edisi terhad ini, had pembelian bagi setiap reka bentuk iaitu satu set 2 dalam 1 akan disediakan, satu duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sehingga lima keping syiling emas Nordic Brilliant Uncirculated bagi setiap orang,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pesanan di duit.bnm.gov.my mulai hari ini hingga 5 pagi pada 9 Disember, 2024.

BNM menasihatkan orang ramai untuk membuat tempahan mereka menerusi sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak lain.

-- BERNAMA