BERITA TERKINI   Malaysia mengalu-alukan pemuktamadan Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 yang akan diterima pakai lewat tahun ini - PM Anwar | Dakwaan 30,000 pelajar masuk universiti awam ikut pintu belakang satu tuduhan berat - Zambry | RTM mohon maaf atas gangguan teknikal ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia antara Perancis dan Senegal | 13 individu termasuk pengarah, bekas pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan kerana disyaki terima rasuah kira-kira RM2.5 juta - SPRM | Malaysia, Tatarstan lihat potensi perluas kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal - PM Anwar | 

Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2025

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Perkara itu diumumkan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat malam ini.

RUU itu diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lepas bagi setiap kementerian terlibat.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2025 di peringkat dasar pada 12 November lepas selepas dibahaskan selama lapan hari bermula 21 Oktober dan melalui sesi penggulungan selama empat hari mulai 6 November.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober melibatkan peruntukan RM421 bilion, iaitu belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Belanjawan itu menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA