BERITA TERKINI   Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | Agong titah rakyat berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dan kecurian identiti | 

Keseluruhan Pasaran Positif, FBM KLCI Ditutup Rendah Berikutan Pengambilan Untung

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri minggu ini dengan prestasi sedikit rendah pada Jumaat, berikutan pengambilan untung menguasai dagangan dalam keadaan pelabur berhati-hati.

Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras itu turun 2.39 mata atau 0.14 peratus kepada 1,613.25 daripada 1,615.64 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.21 mata lebih tinggi kepada 1,615.85 dan bergerak antara 1,611.25 hingga 1,617.57 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 574 berbanding 465, manakala 524 kaunter tidak berubah, 913 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.82 bilion daripada 3.24 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi FBM KLCI itu berbeza daripada pergerakannya selama empat hari berturut-turut sebelum itu yang mencatatkan kenaikan.

Beliau berkata ini kerana pengambilan untung berlaku, sekali gus mencerminkan penurunan di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata dalam indeks itu, saham tenaga dan perindustrian menerajui kenaikan.

“Walaupun indeks komposit turun namun minat belian dalam sektor penjagaan kesihatan kekal kukuh, didorong oleh pengumuman mengenai peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan oleh peserta utama dalam industri itu.

“Indeks Small Cap, Indeks Mid Cap dan Pasaran ACE Bursa Malaysia masing-masing turut meningkat sejak dua minggu lepas, didorong oleh data ekonomi China yang bertambah baik, menandakan keyakinan pelabur yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peserta pasaran kekal bimbang menjelang data pekerjaan utama Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini, ditambah dengan penurunan di Wall Street dalam tempoh semalaman  yang melemahkan lagi sentimen.

“Ekuiti Korea Selatan menghadapi penjualan ketara, didorong oleh ketidaktentuan politik yang terus menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya.

Di peringkat rantau, kebanyakan bursa mencatatkan penurunan dengan Indeks Straits Times Singapura turun 0.69 peratus kepada 3,796.16, Nikkei Jepun kurang 0.77 peratus kepada 39,091.17, dan Kospi Korea Selatan susut 0.56 peratus kepada 2,428.16.

Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.56 peratus kepada 19,865.85, dan Indeks Komposit SSE China menokok 1.05 peratus kepada 3,404.08.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM10.16, CIMB menguncup dua sen kepada RM8.17, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM13.52, dan IHH berkurang satu sen kepada RM7.32.

Sebaliknya, Public Bank naik satu sen kepada RM4.58.

Antara saham aktif, Supermax melonjak 7.5 sen kepada RM1.06, Top Glove meningkat tujuh sen kepada RM1.32, MYEG menambah satu sen kepada 92 sen, Bumi Armada menokok 1.5 sen kepada 63.5 sen, manakala YNH Property susut 14 sen kepada 56.5 sen, dan Zen Tech kekal satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 18.71 mata kepada 12,346.90, Indeks FBMT 100 meningkat 13.42 mata kepada 12,027.70, dan Indeks FBM 70 melonjak 134.67 mata kepada 18,400.21.

Indeks FBM Emas Syariah naik 19.03 mata kepada 12,323.13 dan Indeks FBM ACE menokok 62.43 mata kepada 5,307.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 27.41 mata kepada 19,165.61, Indeks Perladangan menguncup 37.99 mata kepada 7,740.26, Indeks Tenaga naik 8.57 mata kepada 829.13, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.48 mata kepada 175.80.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.58 bilion unit bernilai RM2.54 bilion daripada 1.65 bilion unit bernilai RM2.42 bilion ketika ditutup semalam.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.11 bilion unit bernilai RM112.96 juta daripada 920.42 juta unit bernilai RM99.11 juta pada Khamis.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula susut kepada 454.43 juta unit bernilai RM166.17 juta daripada 662.72 juta unit bernilai RM213.96 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 237.67 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (269.22 juta), pembinaan (90.74 juta), teknologi (202.11 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (113.51 juta), hartanah (165.86 juta), perladangan (39.49 juta), REIT (10.72 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (124.45 juta), kesihatan (227.34 juta), telekomunikasi dan media (24.96 juta), pengangkutan dan logistik (39.46 juta), utiliti (40.95 juta), serta amanah perniagaan (113,300).

-- BERNAMA