BERITA TERKINI   Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | Lembaga Siasatan telah peroleh perakam data penerbangan dan video F/A-18D Hornet - Panglima TUDM | Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | 

MPOB, MYSA Bekerjasama Guna Teknologi Angkasa Majukan R&D Industri Sawit

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam usaha mengembangkan penyelidikan industri sawit menggunakan teknologi angkasa.

MPOB berkata, jalinan kerjasama dua agensi tersebut dilihat bakal melakar potensi penyelidikan yang lebih berkesan bagi memanfaatkan kelebihan teknologi angkasa meliputi teknologi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) serta teknologi maklumat dan komunikasi.

"Kaedah analisis data spatial mampu digunakan untuk menilai tanaman sawit, menambah baik bekalan sumber dan memastikan pematuhan piawaian alam sekitar, sejajar dengan komitmen negara terhadap amalan pertanian mampan serta matlamat nasional dan global," kata MPOB dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan terhadap perkongsian maklumat berkaitan pengesanan dan pemantauan perosak dan penyakit utama tanaman sawit serta situasi agroekologi negara.

“Kami juga bakal meneroka teknologi kecerdasan buatan generatif (Generative AI) dan teknologi internet pelbagai benda (IoT) bagi memperkasa pengurusan perladangan sawit,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah pula berkata MYSA akan membangunkan sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa terkini bagi perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti penanaman sawit.

"Penggunaan sistem aplikasi ini dijangka meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan berasaskan keluaran yang dihasilkan menerusi pemprosesan dan analisis digital imej satelit di kawasan penanaman sawit seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, skop kerjasama ini turut meliputi pelaksanaan program latihan dan pemindahan teknologi yang dapat memperkasa jaringan perkongsian maklumat serta meningkatkan kompetensi kedua-dua pihak.

-- BERNAMA