BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

LIAM, MTA, PIAM Umum Langkah-langkah Interim Tangani Kesan Penetapan Semula Premium

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) hari ini mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful yang terkesan akibat penetapan semula premium/sumbangan baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan bersama, persatuan terbabit berkata langkah-langkah ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan pemegang polisi/peserta takaful agar dapat terus dilindungi oleh insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

“Pihak industri memahami sensitiviti situasi ini dan tetap komited untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful sepanjang tempoh peralihan ini,” katanya.

Terdahulu, hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu menangani kesan pelarasan premium produk MHIT dengan penginsurans dan pengendali takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan premium yang diagihkan (spread out) bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.

Menurut kenyataan tersebut, langkah-langkah interim tersebut termasuk melaksanakan perubahan premium yang diagihkan disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan.

Selain itu, ia juga akan melaksanakan penangguhan sementara selama satu tahun dalam penetapan semula premium/sumbangan akibat inflasi tuntutan perubatan untuk individu berumur 60 tahun dan ke atas yang dilindungi di bawah pelan minimum oleh syarikat insurans atau pengendali takaful mereka.

“Pemegang polisi/peserta takaful yang telah menamatkan atau polisi/sijil mereka telah luput akibat penetapan semula premium/sumbangan pada tahun 2024 akan layak untuk menguatkuasakan semula polisi/sijil mereka tanpa memerlukan penilaian semula risiko tambahan.

“Sebagai pelengkap kepada langkah-langkah sementara itu, syarikat insurans dan pengendali takaful akan menawarkan produk MHIT alternatif yang sesuai dengan premium/sumbangan yang sama atau lebih rendah untuk pemegang polisi/peserta takaful yang tidak ingin meneruskan pelan MHIT sedia ada mereka yang mengalami penetapan semula harga,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pihak industri akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk membangunkan strategi mampan bagi menangani kesan kewangan daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan dan tuntutan perubatan yang meningkat. 

“Ini termasuk penubuhan dana sebanyak RM60 juta oleh kerajaan, syarikat insurans, pengendali takaful, dan hospital swasta untuk mempercepatkan reformasi kesihatan yang lebih menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

“Sebahagian daripada dana tersebut akan digunakan untuk memudahkan pembangunan produk asas MHIT yang melindungi penjagaan kesihatan yang perlu dan membolehkan pemegang polisi/peserta takaful berumur 60 tahun dan ke atas untuk beralih kepada produk asas baru apabila tersedia,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA