BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Dagangan Niaga Hadapan Emas Dijangka Kecil Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan kecil ketika musim cuti Krismas dengan unjuran harga US$2,585 hingga US$2,635 di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati serta aktiviti akhir tahun yang suram.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu kekal di bawah tekanan susulan pengukuhan dolar AS dan peningkatan hasil Perbendaharaan negara maju itu dengan sokongan akibat ketidaktentuan geopolitik terus menyusut.

“Bagaimanapun, momentum spekulatif bagi melonjakkan harga kelihatan kian suram menjelang berakhirnya tahun ini.

“Secara asasnya, permintaan terhadap emas kekal memberangsangkan, didorong oleh pembelian daripada bank-bank pusat, termasuk dalam pasaran sedang pesat membangun seperti China, India dan Turkiye selain minat runcit yang stabil di Asia,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak bulan semasa Disember 2024 mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih rendah pada US$2,607.00 setiap auns troy daripada US$2,678.30 setiap auns troy pada minggu lepas manakala kontrak Januari 2025 berkurangan kepada US$2,620.10 setiap auns troy daripada US$2,691.40.

Kontrak Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025 juga ditutup rendah pada US$2,630.30 setiap auns troy daripada US$2,701.50 setiap auns troy pada minggu lepas.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 144 lot daripada 210 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 24 kontrak daripada 63 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 19 Dis, harga emas fizikal berada pada US$2,592.45 setiap auns troy.

-- BERNAMA