BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

Ringgit Dibuka Lebih Kukuh Berbanding Dolar AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, disokong oleh penurunan Indeks Dolar AS (DXY) pada Jumaat lepas, menurut ahli ekonomi.

Setakat 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.5010/5100 berbanding dolar AS, naik daripada 4.5055/5100 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY merosot kepada 107.621 mata selepas melebihi 108 mata pada Jumaat lepas.

“Inflasi PCE pada November yang lebih rendah daripada jangkaan, yang susut kepada 2.4 peratus digabungkan dengan kebimbangan mengenai kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS), mendorong peniaga untuk mengambil keuntungan daripada dolar AS.

“Berdasarkan ini, ringgit boleh mencatat prestasi yang baik berbanding dolar AS hari ini berikutan jualan pada minggu lepas yang agak berlebihan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8749/8809 daripada 2.8747/8779 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding pound kepada 5.6578/6691 daripada 5.6328/6384. Ia turut susut berbanding euro, diniagakan pada 4.6959/7053 daripada 4.6776/6823 sebelum ini.

Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3201/3277 daripada 3.3146/3181 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1199/1617 daripada 13.0670/0861.

Sebaliknya, ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/278.1 daripada 277.7/278.1 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.67 daripada 7.66/7.67.

-- BERNAMA