BERITA TERKINI   Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global turut menjejaskan bekalan ubat dan peranti perubatan - Akmal Nasrullah | FELDA dan FGV Holdings perkenal B100, biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit yang berpotensi jadi sumber tenaga alternatif - Pengerusi FELDA | 

Capital A Sedang Bincang Pembelian Pesawat, Sebahagian Daripada Strategi Pengembangan

SEPANG, 23 Dis (Bernama) -- Capital A Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan pengeluar pesawat Airbus, Embraer dan Comac untuk membeli pesawat baharu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan bagi operasi syarikat penerbangannya di bawah jenama AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan rancangan itu semasa majlis Sambutan Krismas AirAsia MOVE dan Pengumuman Khas, di sini, hari ini.

"Saya boleh mengesahkan bahawa kami sedang mencari lebih banyak pesawat. Pasukan saya akan ke Brazil dan sebahagian lagi daripada pasukan saya akan pergi ke Kanada untuk meninjau A220.

"Kami juga berbincang dengan Comac di China. Kami memerlukan lebih banyak pesawat, itu sudah tentunya. Dan kami memerlukan pesawat yang boleh menambah kepada kumpulan pesawat A321 kami," katanya.

Ditanya mengenai berapa jumlah pesawat baharu yang dirancang untuk dibeli, Fernandes berkata ia bergantung kepada keputusan lembaga pengarah.

“Ini (pembelian) tertakluk kepada lembaga pengarah, tetapi kami menyasar 100 (pesawat), mungkin lebih lagi,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelan penyusunan semulanya, Fernandes mengesahkan bahawa AirAsia X dan AirAsia akan digabungkan menjadi satu jenama, AirAsia Group.

"Langkah seterusnya adalah untuk menggabungkan AirAsia X dan AirAsia, jadi kami hanya mempunyai satu jenama, AirAsia.

“Kami juga akan menamakan semula kumpulan syarikat penerbangan itu sebagai AirAsia Group. Penggabungan ini akan menyelaraskan operasi kami dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran," katanya.

-- BERNAMA