BERITA TERKINI   KDN akan jadi pemudah cara Perhimpunan Antirasuah yang berlangsung esok di Kuala Lumpur - Saifuddin Nasution  | Aplikasi MyBorderPass raih lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari - Saifuddin Nasution | Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | 

Petronas Buat Semakan Produktiviti Untuk Melestari Operasi, Hapus Ketidakcekapan

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap produktivitinya bagi menyelaraskan kaedah kerjanya, menghapuskan ketidakcekapan serta memberi tumpuan kepada usaha yang memberi nilai dan boleh diukur.

Syarikat minyak nasional itu berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk melaksanakan strategi peralihan tenaga sambil memberikan penambahbaikan berterusan dengan menjadi lebih fokus kepada operasi, tangkas secara komersial dan menjimatkan kos.

"Seiring dengan pelaksanaan mandatnya seperti yang termaktub dalam PDA 1974, Petronas kekal komited untuk terus mencipta nilai bagi para pemegang sahamnya.

“Bagi mencapai matlamat ini, ia perlu memastikan dapat terus bersaing dan berkembang dalam landskap sektor tenaga yang sentiasa berubah, baik di peringkat domestik mahupun global," katanya kepada Bernama.

Petronas berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bernama berhubung laporan berita mengenai kumpulan tersebut yang dijangka mengalami kehilangan perolehan sekitar 30 peratus sebaik sahaja formula yang dipersetujui untuk pengagihan gas asli di Sarawak dilaksanakan.

Laporan berita itu menyebut firma minyak dan gas negara yang berdiri sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang berjaya masuk ke dalam senarai Global Fortune 500, mungkin terpaksa membuat beberapa keputusan sukar berhubung tenaga kerjanya kerana perjanjian pengedaran gas, butirannya masih belum didedahkan kepada umum.

-- BERNAMA