BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

MBSB Lantik Nur Julie Gwee Ariff CEO MIDF Amanah Investment Bank

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- MBSB Bhd melantik Datuk Seri Nur Julie Gwee Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDF Amanah Investment Bank Bhd baharu berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Dalam kenyataan hari ini, MBSB yang juga syarikat pegangan kewangan MIDF Amanah Investment Bank berkata Nur Julie ialah ahli perbankan pelaburan yang berpengalaman luas dalam pasaran hutang dan kewangan korporat.

Beliau menyertai bank pelaburan itu pada 2012 sebagai pengarah dalam bimbingan dan penstrukturan korporat selain berkhidmat sebagai ketua pasaran hutang dan timbalan CEO sebelum pelantikannya sebagai CEO, katanya. 

Pengerusi MIDF Amanah Investment Bank Datuk Mohd Nasir Ali berkata kepimpinan dan pengalaman luas Nur Julie dalam sektor kewangan akan mendorong bank itu kepada tahap yang lebih tinggi.

“Rekod prestasi beliau yang terbukti telah memainkan peranan penting dalam kejayaan bank ini.

"Di bawah bimbingan beliau, bank ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baharu dan memperteguh kepimpinannya dalam aspek ini," katanya.

Ketua Kumpulan Perbankan Borong MBSB Kuldeep Singh berkata kepakaran Nur Julie dalam pasaran hutang, kewangan korporat dan bimbingan akan mengukuhkan kedudukan bank ini dan membuka peluang pertumbuhan baharu.

“Menerusi kepimpinan beliau, kami menyasarkan untuk memanfaatkan sinergi di seluruh kumpulan MBSB bagi melaksanakan penyelesaian yang menumpukan kepada pelanggan bersepadu.

“Kami kekal komited untuk memberikan nilai yang luar biasa dan impak penting kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya.

-- BERNAMA