BERITA TERKINI   Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Tidak Menentu Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Dagangan kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak menentu iaitu di antara AS$2,640 dan AS$2,700 setiap auns troy minggu depan, kata seorang penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata permintaan terhadap komoditi selamat yang teguh dijangka berterusan sewaktu ketegangan geopolitik berlanjutan di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan.

“Dari perspektif perang perdagangan, emas terus mendapat permintaan tinggi kerana tarif berpotensi mengancam serta mengganggu ekonomi global selain menggugat sentimen pelabur apabila emas berfungsi sebagai lindung nilai yang kukuh.

"Ini sangat relevan di Asia apabila terdapat permintaan yang meningkat untuk emas sebagai perlindungan terhadap penurunan nilai mata wang tempatan," katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 mengakhiri minggu ini lebih tinggi kepada US$2,667.80 setiap auns troy daripada US$2,640.40 setiap auns troy minggu lepas dan Februari 2025 meningkat kepada US$2,678.90 setiap auns troy daripada US$2,650 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 semuanya diselesaikan bertambah kepada US$2,687.30 setiap auns troy daripada US$2,650.50 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan susut kepada 41 lot daripada 60 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 44 kontrak daripada 38 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 2 Jan, 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,646.30 setiap auns troy.

-- BERNAMA