BERITA TERKINI   Kerajaan mahu aktifkan semula pertukaran pelajar, galak pelajar New Zealand ceburi TVET di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | Malaysia sedia tambah 100 pelajar tajaan MARA lanjut pengajian ke New Zealand, khususnya bidang teknologi hijau - TPM Ahmad Zahid | KPKM perkenal dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 untuk tangani isu padi angin - Mohamad | Kerajaan lulus Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang jalani tempoh pengalaman kerja diselia selepas tamat latihan kepakaran - KKM | Eksport, pemindahan dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada permit perdagangan - MITI | 

Kerjaya Prospek Raih Kontrak Pembinaan RM256.4 Juta Di Elmina, Selangor

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, berjaya meraih kontrak bernilai RM256.4 juta daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd (E&OE) membabitkan kerja-kerja pembinaan di Elmina West, Shah Alam di Selangor.

E&OE adalah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd dengan pengarah dan pemegang saham utama tertentu Kerjaya mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung.

Dalam kenyataannya hari ini, Kerjaya berkata skop projek itu termasuk pembinaan sebanyak 360 unit rumah teres tiga tingkat selain rumah kelab, kerja-kerja landskap dan prasarana berkaitan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutifnya Tee Eng Tiong berkata nilai perolehan kontrak belum selesai kumpulan itu pada masa ini berjumlah kira-kira RM4.2 bilion susulan penambahan kontrak berkenaan, sekali gus memastikan ketampakan pendapatan mampan bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Kejayaan meraih projek baharu ini membuktikan komitmen kami dalam memacu nilai hebat untuk pemegang saham selain mengukuhkan lagi kedudukan sebagai antara pemain terkemuka dalam sektor pembinaan.

“Kami juga berharap dapat menyampaikan keputusan luar biasa dan mengekalkan momentum pertumbuhan ketika memulakan tahun kewangan baharu," katanya. 

Kerjaya berkata projek itu akan diserahkan dalam tempoh tiga fasa dengan pembinaannya dijadual bermula pada 20 Jan, 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 26 bulan. 

Kontrak itu juga dijalankan secara setaraf dan berdasarkan terma-terma komersial yang lazim.

-- BERNAMA