BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Affin Bank Jangka Pertumbuhan KDNK 5.2 Peratus Pada 2025

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Affin Bank Bhd menjangka ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun ini berbanding anggaran 5.0 peratus pada 2024.

Menurutnya ia sejajar dengan unjuran Kementerian Kewangan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus

Ketua Ahli Ekonomi Alan Tan berkata, 2025 akan melahirkan pertumbuhan ekonomi yang stabil, terutama bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia berikutan eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka meningkat selaras dengan jualan semikonduktor global.

"Jumlah eksport pada 2023 tidak begitu memberangsangkan tetapi mula pulih pada 2024, disokong oleh jualan semikonduktor global. Ia dijangka terus pulih menjelang 2025 berikutan permintaan semikonduktor yang semakin meningkat.

“Malaysia merupakan ekonomi yang terbuka. Kita mempunyai banyak syarikat elektronik berkualiti berpusat di Pulau Pinang yang menyumbang kepada eksport E&E Malaysia. Menjelang 2025, kita menjangka trend ini akan berterusan," katanya dalam taklimat Prospek Ekonomi Malaysia 2025 ketika sambutan Tahun Baru Cina 2025 Affin Bank di sini malam tadi.

Tan berkata ekonomi tempatan dijangka mendapat manfaat daripada permintaan domestik berikutan keadaan pasaran buruh yang stabil dan perbelanjaan isi rumah.

Mengenai hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih  Donald Trump untuk mengenakan tarif terhadap China dan implikasi ekonomi globalnya, Tan berkata Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada strategi "China plus one" yang melibatkan pelbagai pelaburan dan operasi pembuatan keluar dari China ke negara lain.

"Kita akan terus menyaksikan pelencongan perdagangan dengan pengeksport, syarikat di China yang menempatkan semula kilang ke ASEAN seperti Malaysia untuk mengelakkan tarif. Keadaan ini mungkin berterusan. Oleh itu, Malaysia seharusnya terus mendapat manfaat," katanya.

Mengenai ringgit, Tan berkata bank itu menjangka peluang kepada mata wang tempatan mengakhiri 2025 pada RM4.10 berbanding dolar AS selain menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan terus menurunkan kadar faedah.

Dari segi kadar dasar semalaman, ia dijangka kekal stabil sekali gus mengecilkan perbezaan faedah antara kadar tempatan dan kadar Rizab Persekutuan AS.

“Ini akan menyumbang kepada aliran masuk ringgit," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata kumpulan akan memperhebat komitmen terhadap kemampanan, keterangkuman kewangan dan tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata pembiayaan mampan kumpulan itu adalah 10.2 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman setakat suku ketiga 2024 dengan sasaran 25 peratus pada 2028.

-- BERNAMA