Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi, Kekal Aliran Meningkat

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan momentum meningkat empat hari berturut-turut untuk ditutup tinggi pada hari terakhir minggu ini susulan peniaga terus berhati-hati terhadap dasar baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penurunan pasaran bon global baru-baru ini turut menyuntik momentum baharu terhadap harga emas.

Beliau berkata peniaga menggunakan emas sebagai lindung nilai terhadap potensi inflasi daripada dasar Trump akan datang dan peningkatan ketegangan perang dagangan di Asia, yang berkemungkinan melemahkan mata wang tempatan.

"Ini menjadikan emas sebagai pilihan yang menarik untuk melindung nilai daripada penyusutan nilai mata wang menjelang hari pelantikan (Trump).

"Daya tarikan emas juga mengukuh menjelang pengumuman laporan Penyata Gaji Bukan Ladang AS lewat malam ini dan dolar yang sedikit lemah," katanya kepada Bernama hari ini.

Kontrak bulan semerta Januari 2025 naik kepada US$2,692.70 daripada US$2,676.30 setiap auns troy pada Khamis, manakala Februari 2025 menokok kepada US$2,703.10 daripada US$2,687.40 setiap auns troy semalam.

Kontrak Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 masing-masing ditutup tinggi pada US$2,707.30 daripada US$2,696.30 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menokok kepada 28 lot daripada 20 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 56 kontrak daripada 34 kontrak sebelum itu.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 9 Januari, harga emas fizikal berada pada US$2,674.60 setiap auns troy.

-- BERNAMA