BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Cebu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 | Dasar sosial hanya bernilai apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik - TPM Ahmad Zahid | Dasar sosial bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi libatkan penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup - TPM Ahmad Zahid | Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 garis 102 inisiatif dengan empat tumpuan iaitu pencegahan, pemerkasaan, promosi & perlindungan - TPM Ahmad Zahid | Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 jadi jambatan antara dasar dirangka dan kehidupan rakyat - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Kekal Mengukuh Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan pergerakan mengiring dengan kecenderungan menaik, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur kekal berhati-hati walaupun terdapat beberapa keuntungan dalam indeks penanda aras, memandangkan pengaruh faktor luaran.

“Kami percaya kelemahan dalam saham teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan berterusan sehingga minggu depan, berpotensi menimbulkan cabaran kepada pasaran tempatan sehingga isu yang mengelilingi pembuat cip Amerika Syarikat (AS) diselesaikan.

“Memandangkan penilaian ekuiti tempatan yang menarik, kami menjangkakan indeks penanda aras akan didagangkan secara mengiring dengan kecenderungan menaik dalam jajaran 1,600-1,620 bagi minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.

Untuk minggu dagangan yang baru berakhir, Januari 2025 menyusut 31.5 mata kepada 1,599.0, Februari 2025 turun 35 mata kepada 1,600.0, manakala kontrak Mac 2025 serta Jun 2025 masing-masing jatuh 35.5 mata kepada 1,582.5 dan 1,588.0.

Jumlah dagangan merosot kepada 30,969 lot berbanding 41,378 lot yang disaksikan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka lebih tinggi pada 42,928 kontrak daripada 42,706 kontrak.

Dari Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 27.05 mata kepada 1,602.41 berbanding 1,629.46  minggu lepas.

-- BERNAMA