BERITA TERKINI   Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | 

Harga Purata MSM Malaysia Naik 9.7 Peratus Kepada RM4,179.50 Satu Tan Pada 2024

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Harga purata minyak sawit mentah (MSM) melonjak 9.7 peratus kepada RM4,179.50 satu tan tahun lepas daripada RM3,809.50 satu tan pada 2023, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata selain itu, harga purata MSM bulanan mencecah kemuncaknya pada RM5,119.50 satu tan pada Disember 2024 manakala harga purata harian memuncak pada RM5,333.50 satu tan pada 6 Dis, 2024.

"Lonjakan ini meningkatkan jumlah hasil eksport produk sawit dengan ketara sebanyak 15.1 peratus kepada RM109.3 bilion pada 2024 berbanding RM94.9 bilion pada 2023," katanya ketika merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2025 di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Datuk Chan Foong Hin.

Johari dalam pada itu berkata jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada 2024 meningkat kepada 26.66 juta tan berbanding kepada 24.49 juta tan pada 2023, naik sebanyak 8.9 peratus atau 2.17 juta tan.

Antara enam pengeksport utama produk minyak sawit Malaysia ialah India, China, Kesatuan Eropah, Kenya, Turkiye dan Filipina, dengan jumlah nilai eksport sebanyak 8.57 juta tan atau 50.7 peratus daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia bagi 2024.

Beliau berkata industri minyak sawit Malaysia menghasilkan 19.3 juta tan minyak sawit mentah pada 2024, lonjakan sebanyak 4.2 peratus berbanding 18.55 juta tan pada 2023.

Prospek industri minyak sawit Malaysia kekal positif, berikutan bekalan dan permintaan kekal stabil dengan jangkaan pemulihan terhadap kekurangan tenaga buruh.

 Sementara itu, menurut satu kenyataan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bekerjasama dengan kedutaan Belanda dan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia untuk melancarkan program National Initiative for Sustainable and Climate-smart Oil Palm Smallholders 2 (NISCOPS 2).

NISCOPS ialah inisiatif kerajaan ke kerajaan yang menumpukan kepada peningkatan kehidupan pekebun kecil dan menangani perubahan iklim dengan penyesuaian terhadap iklim, melindungi hutan dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Ia menyokong komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris, Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan melaksanakan amalan pertanian pintar iklim di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA