BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Malaysia Alu-alukan Pelaburan Dari UAE Bagi Projek Tenaga Boleh Baharu

Oleh Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kalangan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melabur di Malaysia dalam projek melibatkan tenaga boleh baharu (TBB) serta pusat data.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata justeru, sewaktu lawatan kerja tiga hari di UAE bermula Ahad, beliau telah mengadakan pertemuan dengan syarikat dana kekayaan berdaulat negara ini.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan syarikat Masdar, kerajaan memaklumkan akan memudah cara rancangan pelaburan Masdar di Malaysia secara usaha sama dengan syarikat tempatan bagi projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama serta memperkukuh grid tenaga.

“Bagi Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), ia melibatkan projek berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan rangka kerja Ekonomi MADANI selain projek di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) iaitu pembuatan termaju.

“Ini juga (melibatkan) pembangunan infrastruktur, teknologi hijau, TBB, logistik, kesihatan, ekonomi digital dan pendidikan,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke UAE di sini, pada Selasa.

Beliau tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari di UAE, antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.

Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar turut menyambut baik hasrat ADIA untuk bekerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) bagi penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Penyertaan ADIA penting dalam penyusunan semula MAHB atau penswastaan yang melibatkan penguasaan Khazanah Nasional. ADIA ada pengalaman dengan (lapangan terbang) di Dubai, Abu Dhabi, Heathrow (London) dan Paris.

“Kerjasama Khazanah dengan ADIA bersama dukungan pimpinan negara ini mereka anggap projek utama,” kata beliau.

Beliau berkata pertemuan dengan Mubadala pula membincangkan pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan pembangunan infrastruktur berkaitan gas, selain pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta projek di JS-SEZ.

-- BERNAMA