BERITA TERKINI   AXIS REIT sasar jumlah nilai pemerolehan RM300 juta tahun ini - CEO | Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | BNM akan kekalkan pendirian akomodatif dan pastikan kadar OPR kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025 - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada suku kedua 2025 tanpa menjejaskan Kepengerusian ASEAN-Malaysia - MAHB | 

Malaysia Tangani Pemerdagangan Sisa Di Peringkat Serantau, Global - Liew

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia akan menangani isu pemerdagangan sisa di peringkat serantau dan global dalam kapasitinya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. 

Beliau berkata ASEAN perlu mempercepat usahanya ke arah ekonomi kitaran dan model rendah karbon selain mengambil kira kapasiti berbeza setiap negara anggota.

“Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh melaksanakannya secara bersendirian. Kita perlu bekerjasama di peringkat intra dan antara rantau untuk menyelaraskan dasar, berkongsi kepakaran dan menangani cabaran bersama seperti pemerdagangan sisa,” katanya dalam ucapan pada Seminar Teknikal: Pemerdagangan Sisa dan Ekonomi Kitaran di sini hari ini. 

Seminar itu anjuran Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah.

Liew berkata penting untuk negara sumber, terutamanya Eropah dan Amerika Utara, mengambil kepimpinan dalam membendung pemerdagangan sisa di peringkat sumber.

“Malaysia mengiktiraf usaha daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam aspek ini dan kami ingin meningkatkan kerjasama dengan EU dan negara sumber lain untuk menangani isu ini. Kami ingin melihat lebih banyak usaha akan datang daripada negara sumber lain,” katanya. 

Liew berkata penyelesaian pemerdagangan sisa berkaitan dengan pelaksanaan ekonomi kitaran, termasuk pendekatan Malaysia dalam peralihan kepada skim Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) untuk memastikan pengeluar bertanggungjawab dalam pengurusan sisa mereka. 

“Kita tidak boleh memandang ringan aspek keselamatan dalam pemerdagangan sisa. Kurang pemerdagangan sisa bermakna Malaysia lebih selamat, ASEAN lebih selamat dan dunia juga lebih selamat. 

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tetap komited untuk menggalakkan perdagangan mampan dan menyokong transformasi hijau Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA