BERITA TERKINI   Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor libat peruntukan RM130.42 juta daripada kerajaan negeri, agensi - MB | Selangor lancar Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Jun ini, langkah segera hadapi krisis tenaga global - MB  | 83 projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM4.06 bilion diserah kuasa pelaksanaannya kepada kerajaan negeri Sabah - Ahmad Zahid | Sebanyak 299 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial - Fahmi | Sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dijangka dilaksanakan hujung Jun ini - Fahmi | 

Malaysia Berpotensi Jana Pelaburan RM11 Bilion, Eksport RM500 Juta Ke UK

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Malaysia berpotensi untuk menjana pelaburan bernilai RM11 billion manakala eksport sebanyak RM500 juta ke United Kingdom (UK) hasil daripada lawatan kerja lima hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UK yang berakhir semalam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata potensi pelaburan yang diraih itu melibatkan sektor tenaga boleh baharu, ekonomi digital, automotif, perbankan, hartanah dan petrokimia. 

"Selain itu, potensi eksport yang dijana adalah bagi produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman," katanya dalam ciapan di laman X pada Ahad.

Beliau merupakan antara menteri Kabinet yang menyertai lawatan kerja Perdana Menteri ke UK.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata bagi tempoh sehingga November 2024, jumlah dagangan Malaysia-UK bernilai RM15.3 bilion, eksport bernilai RM7.83 bilion manakala import mencecah RM7.47 bilion. 

Dari segi prestasi pelaburan, katanya, setakat September 2024, sebanyak 486 projek pembuatan oleh syarikat UK telah dilaksanakan yang melibatkan pelaburan RM12.49 bilion dan menjana sebanyak 41,630 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

UK merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Eropah.

-- BERNAMA