BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: JDT 1-3 Buriram United | Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | 

Malaysia Gesa EU Tingkatkan Sokongan Dalam Pembiayaan Iklim, Inisiatif Hijau

Daripada D.Arul Rajoo

BRUSSELS, 20 Jan (Bernama) -- Dalam satu seruan penting, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kesatuan Eropah (EU) memperkukuh sokongan kepada Asia Tenggara melalui pembiayaan iklim yang lebih tinggi, pelaburan hijau, bantuan teknikal, dan inisiatif pembinaan kapasiti.

Beliau berkata seperti EU, Malaysia juga mengakui krisis iklim adalah cabaran yang menentukan era ini.

Anwar berkata ketika bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025, Putrajaya telah menjadikan kemampanan sebagai teras utama peranan Malaysia pada 2025 di samping komited untuk menggerakkan rantau itu melakukan tindakan kolektif yang berani bertujuan melindungi masa depan tanpa menjejaskan hak pembangunan dan kemakmuran ekonomi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama bertajuk “Bridging Regions: Strengthening South-east Asia-European Resilience” di College of Europe (COE) di Bruges, Belgium.

Anwar tiba di Brussels, ibu kota Belgium pada Ahad untuk lawatan kerja selama dua hari ke negara ini, serta bertemu dengan kalangan pemimpin EU.

Perdana Menteri berkata menyedari wujudnya jurang antara negara maju dengan negara yang sedang membangun, perkongsian bersifat saksama adalah penting untuk memajukan matlamat Perjanjian Paris serta memastikan negara yang kurang maju menerima sokongan yang diperlukan untuk langkah penyesuaian dan mitigasi iklim.

Perkongsian adalah kunci untuk meneruskan harapan Perjanjian Paris, dan Malaysia menghargai sokongan berterusan EU terhadap aspirasi iklim Asia Tenggara, kata beliau.

“Peralihan daripada penggunaan bahan bakar fosil, membangunkan grid kuasa serantau, melaksanakan cukai karbon, membina daya tahan rakyat terhadap cuaca melampau dan memelihara biodiversiti yang kaya serta penyerapan karbon semula jadi.

“Semua ini hanyalah sebahagian daripada aspirasi Asia Tenggara ketika kami berusaha untuk mencapai masa depan yang lebih bersih di samping memastikan manfaat pembangunan tersedia untuk semua dan melindungi segmen masyarakat yang paling rentan,” kata Anwar.

-- BERNAMA