BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Selangor FC 2-1 Nam Dinh FC  | Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: JDT 1-3 Buriram United | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Sedikit Dipengaruhi Ketidaktentuan Geopolitik

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pasaran getah ditutup rendah sedikit pada Rabu, dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik yang berlarutan susulan konflik di Asia Barat, meskipun berlaku aliran meningkat dalam niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata sentimen turut terjejas oleh kelemahan berterusan dalam sektor automotif China, susulan laporan penurunan jualan kenderaan elektrik di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.

“Bagaimanapun, penurunan itu dihadkan oleh petunjuk makroekonomi yang masih kukuh khususnya apabila sektor perkhidmatan China berkembang pada kadar lebih pantas pada April.

“Tekanan penurunan turut dibendung oleh sentimen pasaran yang semakin baik, disokong keyakinan terhadap potensi perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran,” katanya kepada Bernama.

Mengenai niaga hadapan getah serantau, peniaga itu berkata pasaran getah Jepun ditutup hari ini sempena cuti umum.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 susut 1.5 sen kepada 870.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 754 sen sekilogram.

-- BERNAMA