BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Agrobank, ATM Jalin Kerjasama Dalam Program Pembiayaan Ladang Kontrak Agro Defence

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Agrobank menjalin nota kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi Program Pembiayaan Ladang Kontrak Agro Defence khusus untuk veteran ATM. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kerjasama antara dua pihak ini membuka peluang kepada pesara ATM sedia ada ataupun bakal pesara ATM untuk bergiat dalam industri pertanian. 

“Program ini bukan sahaja menawarkan peluang keusahawanan, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan yang stabil kepada para veteran ATM sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka. 

“Ia juga mencerminkan komitmen kami dalam menjaga kebajikan warga veteran yang telah berbakti kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Kos keseluruhan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi ladang dalam sektor pertanian khususnya nanas, penternakan ayam dan perikanan adalah hampir RM30 juta.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata hasil sektor penanaman nanas, penternakan ayam dan perikanan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan, malah mampu menggiatkan eksport antarabangsa. 

“Hasilnya bukan sahaja boleh dipasarkan dalam bentuk segar, malah boleh diproses menjadi pelbagai produk makanan dan produk hiliran.

“Faktor ini menjadikan sektor ini sebagai industri yang berpotensi untuk terus berkembang, didorong oleh permintaan pasaran yang tinggi dan kepelbagaian kegunaan,” katanya.

-- BERNAMA