IPP Catat Pertumbuhan 8.2 Peratus Pada April 2026, Tertinggi Sejak September 2022 - DOSM
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus tahun ke tahun pada April 2026 dengan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022 disokong oleh pengembangan dalam semua sektor, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan output dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus diikuti oleh pemulihan 6.8 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan.
"Pada masa sama, sektor elektrik berkembang 10.5 peratus pada bulan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perbandingan bulan ke bulan, IPP mengalami penurunan 3.4 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan positif 9.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan oleh penguncupan dalam sektor pembuatan (-4.4 peratus) dan perlombongan (-1.6 peratus), sementara itu sektor elektrik bertumbuh sebanyak 2.1 peratus.
"Output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 8.5 peratus pada April 2026 berbanding 6.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
"Pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang mengekalkan pertumbuhan dua digit iaitu 14.6 peratus serta diikuti oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis sebanyak 4.2 peratus," katanya.
Selain itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan turut menyokong pertumbuhan ini dengan mencatatkan 9.3 peratus.
Pada Januari hingga April 2026, Mohd Uzir berkata IPP meningkat 5.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025 dengan menunjukkan pengembangan dalam indeks sektor pembuatan pada 6.3 peratus dan indeks elektrik iaitu 6.5 peratus sementara indeks perlombongan mencatatkan penurunan 0.6 peratus.
-- BERNAMA