BERITA TERKINI   Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | 

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura Jalinan Kerjasama Luar Biasa - PM Anwar

DAVOS (Switzerland), 21 Jan (Bernama) - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan satu langkah kerjasama yang luar biasa dan istimewa antara Malaysia dan negara jiran Singapura, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terdapat elemen saling mempercayai untuk bekerjasama dalam program bersama yang akan memberi manfaat kepada antara satu sama lain.

“Zon Ekonomi Johor-Singapura ini, pada fikiran saya, adalah satu langkah yang luar biasa, kerana (ia) mesti berlandaskan kepada kepercayaan, dasar bersama. Dan ia sedang direalisasikan,” kata beliau pada sesi “Country Strategy Dialogue” di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan yang ditanya oleh seorang peserta mengenai harapan beliau terhadap kerjasama JS-SEZ yang dimuktamadkan baru-baru ini.

Sesi tersebut dipemudahcarakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata beliau yakin JS-SEZ akan memacu ekonomi dari segi pelaburan yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan juga Singapura.

"Kami benar-benar bersemangat, dan begitu juga Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ketika kami mengadakan perbincangan, dan saya fikir ia sepatutnya menjadi tumpuan yang sangat penting untuk Malaysia dan Singapura dan juga untuk rantau ini, untuk ASEAN dan melangkaui darinya," kata Anwar.

Awal bulan ini, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.

JS-SEZ adalah projek pembangunan mega yang merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai, dan Sedenak.

Zon ekonomi itu disasarkan antara lainnya menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun.

-- BERNAMA