SMR 20 Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Mengenai Bekalan Getah Asli
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) ditutup tinggi hari ini dalam kebimbangan mengenai bekalan getah asli disebabkan faktor hujan, kata peniaga.
Katanya sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh langkah China untuk merangsang ekonominya dan unjuran positif getah asli oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).
“Agensi meteorologi Thailand terus mengeluarkan amaran hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat dan limpahan air di Thailand bermula 27 hingga 28 Jan 2025,” katanya kepada Bernama.
Merujuk laporan statistik getah asli pada Disember 2024 oleh ANRPC, katanya pengeluaran getah asli global tahun lepas dianggarkan meningkat 2.8 peratus kepada 14.29 juta tan manakala permintaan getah asli global bagi 2024 dijangka melonjak 1.8 peratus kepada 15.45 juta tan.
Sementara itu, katanya pengumuman China mengenai rancangannya untuk menyalurkan ratusan bilion yuan setiap tahun dalam saham syarikat insurans milik negara sejajar dengan langkah Beijing untuk menyokong pasaran saham.
Beliau berkata China juga akan memberikan layanan sama kepada institusi kewangan asing seperti yang dinikmati syarikat tempatan dalam menawarkan jenis perkhidmatan kewangan baharu yang belum didapati di negara itu dalam zon perdagangan bebas tertentu.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan pada 3 petang, harga SMR 20 meningkat 13 sen kepada 899.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun satu sen kepada 679 sen sekilogram.
-- BERNAMA