BERITA TERKINI   SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan minat belian selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini walaupun prestasi pasaran serantau lebih baik sejajar dengan prestasi Wall Street semalaman yang menggalakkan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.28 mata kepada 1,572.92 daripada 1,577.20 semalam.

Pada sesi pembukaan, indeks petunjuk pasaran naik 0.30 mata kepada 1,577.50.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 178 berbanding 111 manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,861 tidak diniagakan dan 133 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 186.23 juta saham bernilai RM125.16 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup tinggi susulan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyatakan beliau menjangka persekitaran kadar faedah yang rendah pada masa depan, memberikan tekanan kepada bank pusat.

“Di AS, pasaran meningkat selepas ucapan Trump di WEF apabila beliau mengumumkan rancangan untuk menggesa negara-negara OPEC menurunkan harga minyak bagi mengawal inflasi dan seterusnya mendorong penurunan kadar faedah, meningkatkan keyakinan di Wall Street,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Katanya pelabur juga akan memantau keputusan kadar faedah Bank of Japan (BoJ) hari ini berikutan Gabenor BoJ telah memberi isyarat mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah.

Bagaimanapun, katanya pihaknya percaya akan terdapat peluang belian saham pada harga rendah di kaunter berkaitan YTL, dengan pelan terkini YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd untuk terbitan waran bonus serta akses yang dijamin kepada cip Nvidia walaupun terdapat sekatan eksport AS. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.31, Maybank berkurangan empat sen kepada RM13.32 manakala CIMB menambah lima sen kepada RM8.02, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.82 dan IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM7.18.

Dalam kalangan saham aktif, Oriental Kopi Holdings dan Vanzo Holdings, masing-masing naik setengah sen kepada 87.5 sen dan 20 sen, YTL Power merosot 16 sen kepada RM3.89, Gamuda berkurangan 10 sen kepada RM4.19 manakala CBH Engineering Holding mendatar pada 37 sen.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas merosot 24.44 mata kepada 12,058.32, Indeks FBMT 100 berkurangan 25.50 mata kepada 11,743.30, Indeks FBM Emas Shariah susut 18.51 mata kepada 11,931.59, Indeks FBM ACE jatuh 13.90 mata kepada 5,211.46 dan Indeks FBM 70 merosot 15.05 mata kepada 18,022.55.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 4.04 mata kepada 838.60, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.67 mata kepada 18,838.67, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.19 mata kepada 168.73 dan Indeks Perladangan berkurangan 1.0 mata kepada 7,405.68.

-- BERNAMA