BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

GMM 20 Ditutup Rendah Susulan Sentimen Pasaran Tidak Menentu

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 di pasaran tempatan ditutup rendah apabila jangkaan yang semakin meningkat mengenai langkah rangsangan China seterusnya telah diimbangi oleh penyusutan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras.

Peniaga berkata China dilaporkan akan memperkenalkan lebih banyak inisiatif tahun ini.

Langkah itu termasuk meningkatkan penggunaan di samping memperluas skim tukar beli pengguna selepas rangsangan skim barangan pengguna itu melonjakkan pertumbuhan penggunaan sebanyak lebih 1.0 peratus tahun lepas, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen terhadap China turut didorong oleh laporan mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan kemungkinan perjanjian perdagangan China-AS, beberapa hari selepas ancaman beliau untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan China menjelang 1 Feb, 2025.

Bagaimanapun, harga minyak mengalami penurunan pada Jumaat dan bergerak ke arah penurunan mingguan apabila Trump mahu harga minyak mentah yang lebih rendah dan pengeluaran tenaga lebih tinggi di AS.

“Pasaran niaga hadapan getah Jepun mendatar hari ini berikutan potensi ketegangan perdagangan antara AS dengan pengguna utama, China, telah mengatasi kebimbangan mengenai bekalan yang berkurangan dari Thailand susulan cuaca hujan,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga GMM 20 susut 8.50 sen kepada 891 sekilogram, manakala lateks pukal meningkat tiga sen kepada 681 sen sekilogram.

-- BERNAMA