BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 4-0 PDRM | Syarikat Malaysia dan Uzbekistan digesa jalin kerjasama baharu raih peluang sinergi yang ditawarkan kedua-dua negara - Tengku Zafrul | Beberapa MoU dimeterai antara syarikat Malaysia dan Uzbekistan dalam projek semikonduktor, automotif, tenaga, kimia, makanan dan farmaseutikal - Tengku Zafrul | Uzbekistan pelawa Petronas sertai aktiviti minyak dan gas di negara itu -- PM Anwar | Malaysia, Uzbekistan perlu tingkat perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor seperti teknologi makanan, pertanian, semikonduktor, tenaga hijau dan kenderaan elektrik -- PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Tinggi Susulan Jangkaan Pengeluaran Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya tinggi pada Isnin berikutan jangkaan pengeluaran yang rendah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata apabila permintaan terhadap MSM meningkat, pembeli akan bersaing untuk mendapatkan bekalan yang terhad, sekali gus menjadikan harga melonjak lebih tinggi.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,200 satu tan dan paras rintangan pada RM4,350 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2025 meningkat RM21 kepada RM4,509 satu tan, Mac 2025 kekal pada RM4,350 satu tan, manakala  April 2025 dan Jun 2025 masing-masing naik RM2 kepada RM4,218 dan RM4,054 satu tan.

Kontrak Mei 2025 naik RM7 kepada RM4,117 satu tan, manakala Julai 2025 susut RM10 kepada RM4,015 satu tan.

Jumlah dagangan turun lebih separuh kepada 51,195 lot daripada 108,617 lot ketika ditutup pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 219,343 kontrak daripada 222,762 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM50 kepada RM4,600 satu tan.

-- BERNAMA