BERITA TERKINI   Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global turut menjejaskan bekalan ubat dan peranti perubatan - Akmal Nasrullah | FELDA dan FGV Holdings perkenal B100, biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit yang berpotensi jadi sumber tenaga alternatif - Pengerusi FELDA | 

Pulau Pinang Kekal Pengeksport Utama Bagi Disember 2024 - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 38.0 peratus daripada jumlah eksport negara, demikian menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Disember 2024 hari ini, ia menyatakan prestasi itu diikuti oleh Johor (18.1 peratus), Selangor (16.2 peratus), Sarawak (7.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

Bagi tempoh sama, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport bernilai RM138.5 bilion, peningkatan RM20.1 bilion atau 16.9 peratus berbanding Disember 2023.

“Peningkatan itu dipengaruhi oleh eksport lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu masing-masing Pulau Pinang (+RM15.4 bilion), Johor (+RM4.7 bilion), Selangor (+RM1.9 bilion), Sabah (+RM1.3 bilion), Perak (+RM1.1 bilion), Melaka (+RM416.7 juta), Kelantan (+RM18.5 juta) dan Perlis (+RM7.1 juta),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata nilai eksport masing-masing turun di Kedah sebanyak RM1.6 bilion, Kuala Lumpur (-RM1.5 bilion), Sarawak (-RM819.5 juta), Negeri Sembilan (-RM415.5 juta), Pahang (-RM342.1 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (-RM30.0 juta) dan Terengganu (-RM15.1 juta).

Mengulas prestasi import mengikut negeri, beliau berkata import pada Disember 2024 meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM12.7 bilion tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan itu disumbangkan oleh import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (+RM5.9 bilion), Pulau Pinang (+RM3.9 bilion), Johor (+RM1.3 bilion), Kedah (+RM1.1 bilion), Perak (+RM704.5 juta), Kuala Lumpur (+RM590.1 juta), Sarawak (+RM558.8 juta), Labuan (+RM237.3 juta), Sabah (+RM69.5 juta), Melaka (+RM54.9 juta) dan Perlis (+RM32.3 juta).

“Bagaimanapun, nilai import jatuh masing-masing di Negeri Sembilan sebanyak RM1.3 bilion, Pahang (-RM393.4 juta), Terengganu (-RM139.7 juta) dan Kelantan (-RM115.9 juta),” katanya.

Selain itu, katanya, Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan sebanyak 28.4 peratus dan diikuti oleh Pulau Pinang (22.9 peratus), Johor (20.6 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.9 peratus).

-- BERNAMA