BERITA TERKINI   RTM mohon maaf atas gangguan teknikal ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia antara Perancis dan Senegal | 13 individu termasuk pengarah, bekas pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan kerana disyaki terima rasuah kira-kira RM2.5 juta - SPRM | Malaysia, Tatarstan lihat potensi perluas kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal - PM Anwar | Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2026 | Pakar Fiqah Islam dari Maghribi Dr Ahmad Al-Raysuni diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2026 | 

Maybank Aktifkan Bantuan Kewangan Banjir Kepada Pelanggan Terjejas Di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Maybank mengulangi komitmennya untuk membantu individu yang terjejas serta pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui program Bantuan Kewangan Banjir berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda Sarawak dan Sabah baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata bantuan berkenaan disediakan di seluruh negara, bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan Maybank yang terjejas.

“Bantuan Kewangan Banjir Maybank direka untuk menangani cabaran yang dihadapi mangsa banjir termasuk, antara lain, penangguhan pembiayaan/pembayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik," katanya.

Selain itu, Maybank berkata ia turut menawarkan pengecualian yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih, seperti penggantian kad debit, kad ATM atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.

Ia berkata pelanggan boleh memohon bantuan melalui e-mel kepada floodrelief@maybank.com , atau melawati atau menghubungi mana-mana cawangan, pusat perbankan komersial atau pusat kewangan auto di seluruh negara. 

"Bagi pelanggan PKS, mereka digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan mereka bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, ia berkata cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah untuk pemegang polisi insurans dan pemegang sijil takafulnya, tanpa borang atau dokumen sokongan yang diperlukan.

Pelanggan boleh melayari www.maybank2u.com.my atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688 untuk Bantuan Kewangan Banjir. 

— BERNAMA