BERITA TERKINI   Chatbot AIFA yang dilancar 28 Jan lepas, terima purata 5,330 soalan sehari untuk semak kesahihan berita - Fahmi | Persatuan seni silat dipelawa jalin kerjasama dengan MCMC, bantu tangani berita palsu di media sosial - Fahmi | Kes tembakan di Setia Alam: Jangan mudah percaya dakwaan di media sosial, rujuk saluran berita rasmi dan polis- Fahmi | Suspek lepaskan tembakan ke arah pekerja pembersihan selepas ditegur supaya alihkan barang- Pengarah JSJ | Insiden tembakan di Setia Alam: Risikan awal dapati suspek berada di bawah pengaruh dadah - Pengarah JSJ | 

KJTS Group Cadang Ambil Alih Malakoff Utilities Pada Harga RM65.5 Juta

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- KJTS Group Bhd bercadang untuk mengambil alih Malakoff Utilities Sdn Bhd (MUSB), anak syarikat Malakoff Corporation Bhd pada harga RM65.5 juta secara tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KJTS berkata pengambilalihan tersebut akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, KJ Technical Services Sdn Bhd dan MUSB akan menjadi anak syarikat tidak langsung milik penuh KJTS setelah selesai pengambilalihan.

Ia berkata syarikat merancang untuk menggunakan sebahagian daripada dana yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) mereka sebanyak RM44.42 juta bagi membiayai pembelian itu.

“Baki RM21.08 juta pula akan dibiayai melalui sumber dalaman syarikat dan/atau pinjaman bank. Kadar pembiayaan sebenar akan ditentukan kemudian, berdasarkan keperluan kewangan syarikat dan anak-anak syarikatnya,” katanya.

Menurut KJTS pembelian ini bukan sekadar transaksi kewangan, tetapi satu langkah strategik untuk mengukuhkan perniagaan terasnya yang termasuk tenaga penyejukan, pembersihan, dan pengurusan fasiliti.

Langkah pengambilalihan itu juga akan memberikan akses kepada kumpulan pengurusan teknikal berpengalaman MUSB, seterusnya mengukuhkan keupayaan pengurusan KJTS untuk mengembangkan perniagaan terasnya dalam industri.

“Pasukan yang diperluaskan ini akan membolehkan KJTS membangunkan portfolionya yang semakin berkembang dengan cekap, seterusnya memastikan pertumbuhan pendapatan mampan untuk kumpulan,” katanya.

Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua tahun 2025, kata KJTS.

-- BERNAMA