Bursa Malaysia Dibuka Tinggi
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah susulan berita mengenai penangguhan kenaikan tarif import yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico dan Kanada pada Isnin.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.75 mata kepada 1,558.38 daripada 1,553.63 semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.40 mata kepada 1,557.03.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 172 berbanding 106 manakala 228 kaunter tidak berubah, 1,798 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 120.50 juta saham bernilai RM67.91 juta.
Menurut laporan berita, walaupun AS bersetuju untuk menangguhkan kenaikan tarif selama 30 hari sebagai pertukaran kepada konsesi mengenai penguatkuasaan sempadan dan jenayah dengan kedua-dua negara jirannya, tarif ke atas China masih dijadualkan berkuat kuasa.
Presiden AS Donald Trump menangguhkan tarif ke atas Mexico selepas arahannya untuk mengenakan tarif ke atas tiga negara mewujudkan perebutan global terhadap aset selamat pada awal Isnin.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata mengenakan tarif tambahan 10 peratus (selain 50 peratus sedia ada) ke atas eksport sarung tangan getah perubatan dan pembedahan China ke AS dijangka meningkatkan sentimen terhadap kaunter sarung tangan tempatan.
“Selain itu, berdasarkan penurunan dalam sektor pembinaan baru-baru ini, kami percaya diskaun ketara dalam harga saham dijangka membuka peluang kepada belian saham pada harga rendah untuk kaunter pembinaan, disokong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pembangunan pusat data di negara ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari aspek teknikal, katanya paras halangan dijangka pada 1,568 hingga 1,573 manakala paras sokongan pada 1,533 hingga 1,538.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing naik 8.0 sen kepada RM8.08 dan RM13.66, Press Metal Aluminium dan Gamuda, masing-masing meningkat 5.0 sen kepada RM4.95 dan RM4.19 serta Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.34.
Harvest Miracle Capital mendahului senarai kaunter paling aktif, menambah 2.0 sen kepada 20.5 sen, diikuti Oriental Kopi yang naik 1.0 sen kepada 86.5. Silver Ridge mendatar pada 59 sen, YTL Power International meningkat 2.0 sen kepada RM3.07 dan Velesto Energy kekal mendatar pada 19 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 37.77 mata kepada 11,903.83, Indeks FBMT 100 meningkat 39.93 mata kepada 11,598.54 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.48 mata kepada 11,754.31.
Indeks FBM ACE naik 26.10 mata kepada 5,215.27 dan Indeks FBM 70 meningkat 77.84 mata kepada 17,665.46
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 44.43 mata kepada 18,884.26, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.67 mata kepada 164.40 dan Indeks Tenaga menambah 0.65 mata kepada 816.77 manakala Indeks Perladangan merosot 19.66 mata kepada 7,326.18.
-- BERNAMA