BERITA TERKINI   PM Anwar mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia terus perkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai dan anggota | Kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 capai paras terendah dalam tempoh 116 bulan pada 3.1 peratus - DOSM | SME Bank sedia kira-kira RM3.6 bilion pembiayaan diluluskan bagi tahun kewangan 2024 | Nilai kerja pembinaan Malaysia capai RM158.8 bilion, catat pertumbuhan dua digit 20.2 peratus pada 2024 - DOSM | Pengeluaran minyak sawit mentah Januari 2025 susut 16.8 peratus kepada 1.24 juta tan daripada 1.49 juta tan pada Disember 2024 - MPOB | 

SKM Umum Dividen ADK 3.60 Peratus, Jumlah Agihan RM12.46 Juta Bagi 2024

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini mengumumkan dividen 3.60 peratus bagi Akaun Deposit Koperasi (ADK) kepada pendeposit (koperasi) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

Pengerusi Eksekutifnya Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal jumlah itu melibatkan agihan pendapatan sebanyak RM12.46 juta.

Beliau berkata mengikut statistik sehingga 31 Dis, 2024, sebanyak 904 buah koperasi, termasuk Co-opbank Pertama (CBP) telah mendeposit ADK-Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) dengan jumlah terkumpul mencecah RM411.2 juta.

Bilangan koperasi itu merupakan peningkatan sebanyak 97 peratus daripada 459 buah koperasi pada 2023 manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat 32 peratus kepada RM411.2 juta daripada RM312.5 juta pada 2023.

"Ini menunjukkan sektor koperasi terus relevan walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen ADK-KWRS bagi tahun kewangan 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, SKM berkata setakat Januari 2025, jumlah deposit akaun ADK sudah melebihi RM411.2 juta yang disifatkan sebagai prestasi yang amat memberangsangkan bagi gerakan koperasi.

Sebagai penghargaan, sebanyak 20 koperasi telah dipilih menerima sijil penghargaan agihan pendapatan ADK bagi 2024.

Suruhanjaya itu turut mengumumkan pelantikan semula CBP sebagai pengurus dana ADK bagi tempoh lima tahun bermula pada 14 Oktober lepas sehingga 2029.

“Usaha itu adalah inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi bagi memperkasa sektor koperasi,” kata SKM.

-- BERNAMA