BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

MITI Semak Semula Margin Lambakan Terhadap Dawai Keluli Berlembar Dari China

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah menyemak semula margin lambakan untuk dua pengeluar atau pengeksport dari China berkenaan dengan import dawai keluli berlembar untuk konkrit prategasan yang berasal atau dieksport dari republik itu.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata kedua-dua syarikat itu, Silvery Dragon Prestressed Materials Co. Ltd Tianjin dan Tianjin Dalu Steel Strand For Prestressed Co. Ltd, kadar duti disemak semula masing-masing kepada 9.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sementara itu, kadar duti pengeluar dan pengeksport lain adalah pada 21.72 peratus.

MITI berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan anti-duti lambakan berkuat mulai 5 Februari, 2025 hingga 24 Disember, 2026.

Penetapan itu adalah mengikut Akta 504 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 selepas semakan pentadbiran dilakukan.

Pada 8 Ogos, kerajaan melakukan semakan pentadbiran ke atas duti anti-lambakan yang dikenakan ke atas dawai keluli berlembar untuk konkrit prategasan yang berasal atau dieksport dari China.

Semakan pentadbiran itu adalah berdasarkan permohonan yang difailkan oleh Southern PC Steel Sdn Bhd bagi pihak industri domestik.

Menurut subseksyen 28 (1) Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504), semakan pentadbiran dilakukan oleh kerajaan untuk menentukan wujudnya perubahan margin lambakan terhadap import barangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, iaitu daripada dua pengeluar atau pengeksport.

-- BERNAMA