BERITA TERKINI   Isu AS akan 'ambil alih' Gaza: Pendirian Malaysia terhadap Gaza kekal, selari dengan negara Islam lain - PM Anwar | Ekonomi Malaysia dijangka kekalkan momentum kukuhnya sehingga 2025, didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, kestabilan politik dan aliran perubahan global - Pengarah Urusan Khazanah  | Khazanah isytihar dividen RM1 bilion kepada kerajaan bagi 2024, menyumbang kepada jumlah kumulatif RM19.1 bilion yang dibayar sejak 2004 | Khazanah rekod keuntungan RM5.1 bilion daripada operasi pada 2024 dan mengekalkan liputan nilai aset boleh direalisasi  kukuh sebanyak 3.2 kali ganda - Pengarah Urusan | Prestasi kukuh pada 2024 dipacu oleh ekuiti awam di Malaysia dan pasaran maju, disokong oleh pertumbuhah padu ekonomi Malaysia -- Pengarah Urusan Khazanah  | 

Perang Perdagangan Tidak Akan Jejas Pertumbuhan KDNK Malaysia Pada 2025 - Rafizi

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 walaupun berdepan risiko daripada perang tarif, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata sekurang-kurangnya sepanjang bulan lepas, keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka sederhana dan jangka panjang Malaysia kekal tidak berubah.

Selain itu, ringgit mengukuh pada minggu lepas. 

Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang memantau risiko tersebut dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertanggungjawab untuk mengumpul input daripada semua kementerian.

Kementerian Kewangan mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025.

Rafizi berkata perang perdagangan dijangka terus menjadi ciri kekal dalam ekonomi global dan Malaysia perlu mengharungi perubahan tersebut dan ketidaktentuan daripadanya.

“Saya rasa pasaran akan mencari cara untuk mengambil kira semua faktor dalam tempoh yang sewajarnya. Akhirnya, ia akan kembali kepada nilai tawaran yang boleh diberikan oleh ekonomi Malaysia kepada dunia.

“Sehubungan itu, saya rasa beberapa perkara yang telah menarik banyak minat terhadap ekonomi Malaysia sejak setahun lepas atau lebih masih tidak berubah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan Bank Dunia bertajuk “A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia” hari ini.

Beliau berkata unjuran bahawa dunia akan menjadi lebih digital dan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) juga tidak berubah, yang akan memberi manfaat kepada Malaysia sebagai hab semikonduktor utama.

“Ini bermakna permintaan terhadap cip akan meningkat dan akan mengukuhkan perdagangan Malaysia. Pelan jangka panjang kami ialah memastikan Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan itu juga tidak berubah.

“Oleh itu, banyak pelan ekonomi kita telah dibina berdasarkan trend mega jangka panjang,” katanya.

Mengenai rang undang-undang untuk memantau industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia, beliau berkata ia akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang sedang bersidang.

“Kami sedang meneliti draf akhir. Draf pertama telah dibawa untuk perbincangan. Kami sedang membuat beberapa penambahbaikan berdasarkan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

“Oleh itu, sasaran ialah memuktamadkan dan membentangkan rang undang-undang itu pada minggu pertama Mac,” katanya.

-- BERNAMA