Sarawak Tingkatkan Pengeluaran Hidrogen Hijau Komersial - Abang Johari 

KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Sarawak meningkatkan pengeluaran hidrogen hijau komersial dengan memanfaatkan sumber hidrokuasanya yang berlebihan bagi memenuhi permintaan Asia yang semakin bertambah terhadap bahan api bersih, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerjasama Sarawak dengan Jepun, Korea Selatan dan China telah memperluas rantaian bekalan hidrogen Sarawak untuk meletakkan diri sebagai peneraju ekonomi hidrogen hijau Asia Pasifik selain mengintegrasikan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) untuk memanfaatkan peluang ekonomi rendah karbon baharu.

“Kami akan terus mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan global untuk mengembangkan industri rendah karbon, membangunkan infrastruktur mampan dan memacu inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih,” katanya ketika menyampaikan syarahan di Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) - Yusuf Ishak Institute di Singapura hari ini.

Menurutnya matlamat Sarawak adalah untuk meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik kepada 10 Gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035 bagi mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa  tenaga hijau di ASEAN bagi menyokong industri, memajukan teknologi hijau dan membolehkan eksport elektrik serantau.

“Sarawak menyasarkan untuk menjadi sumber utama  ASEAN dengan membekalkan tenaga bersih dan meningkatkan kesalinghubungan merentas sempadan.

“Melalui inisiatif Grid Kuasa ASEAN, kami sedang memperkukuh keselamatan tenaga serantau di samping meneroka penyelesaian penyimpanan untuk mengoptimumkan bekalan dan pengedaran,” katanya.

Dalam syarahan bertajuk "Membayangkan Masa Depan Rendah Karbon: Perjalanan Sarawak Menuju Pembangunan Mampan," Abang Johari berkata dasar yang teguh telah mendorong Sarawak untuk lebih jauh menuju pembangunan mampan selain penglibatan komuniti dan kerjasama global.

Beliau berkata pada 2021, kerajaan negeri merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk Sarawak mencapai kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar dalam tempoh lima tahun.

“Dalam tempoh separuh perjalanan PCDS 2030, kami telah mula melihat hasilnya yang mencerminkan keupayaan Sarawak untuk mengubah strategi menjadi tindakan.

“Antara pencapaian kami yang paling ketara adalah melepasi ambang pendapatan tinggi Bank Dunia dengan lebih awal berbanding jadual, memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab ekonomi untuk perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Sarawak juga telah memperkenalkan pembaharuan dasar yang berani, termasuk penguatkuasaan Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 untuk CCUS serta Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 untuk meningkatkan tadbir urus sumber.

“Walaupun pembaharuan dasar menetapkan hala tuju, impak sebenar terletak kepada pelaksanaan. Pada masa ini Sarawak sedang melaksanakan dasar ini, mempercepat penyahkarbonan industri dan memajukan inovasi hijau untuk masa depan mampan,” katanya.

-- BERNAMA