Sokong PKS Sebagai Tunjang Ekonomi Negara - PM Anwar

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia akan terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan peranannya sebagai tunjang ekonomi negara dan menjadi sebahagian besar daripada perniagaan di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Lembaga Perhubungan Ekonomi Asing (DEiK) Turkiye dan kementerian berkaitan di Malaysia dan Turkiye perlu memberikan tumpuan terhadap kelompok kedua ini untuk terus berinovasi dan lebih kreatif bagi memastikan PKS diberi keutamaan.

“Sebagai contoh bagi Malaysia, dalam dasar negara kita, pelan induk… kita memberikan keutamaan terhadap semikonduktor untuk PKS, dengan keseluruhan strategi adalah berdasarkan rantaian bekalan, dan kebanyakannya adalah dalam kategori ini.

"Kita boleh mempunyai semua konglomerat, tetapi kita hanya berupaya berjaya sekiranya kita turut memberikan fokus kepada PKS dari segi rantaian bekalan yang berkesan dan diberi peluang untuk berkembang," kata Anwar dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. 

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turkiye berjumlah RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus berbanding 2023.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Erdogan disifatkan sebagai pemimpin yang sangat komited untuk melaksanakan rancangan itu dan membina Turkiye sebagai sebuah negara yang lebih ulung.

“Saya berpandangan bahawa kita berkongsi idea itu untuk Malaysia, dan dalam konteks ASEAN, kita amat bernasib baik,” kata beliau.

Anwar berkata beliau yakin bahawa sinergi antara Turkiye dan ASEAN akan memberikan sokongan berikutan kerjasama, kepercayaan dan persahabatan dalam kalangan pemimpin ASEAN tidak ada bandingannya daripada negara lain.

“ASEAN menjadi rantau paling aman dan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia.

“Oleh itu, peluang dan kerjasama adalah baik. Sebagai contoh, kita mempunyai kerjasama dalam tenaga -- Grid Kuasa ASEAN dari Vietnam ke Laos, Thailand, Kemboja, Semenanjung Malaysia, Singapura, Indonesia, Sarawak, Sabah, selatan Filipina dan seterusnya ke Batam, Indonesia.

“Kita juga menumpukan kepada pendigitalan di seluruh rantau ini. Pasukan saya telah memberi tumpuan terhadap aspek ini dan saya sangat optimis,” kata Anwar.

Beliau turut memberikan contoh lain apabila Malaysia dan Thailand bekerjasama untuk meningkatkan ekonomi dan keselamatan di kawasan dan wilayah yang mengalami cabaran besar di selatan Thailand.

Selain itu, terdapat kerjasama unik Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan kedua-dua negara bekerjasama untuk menonjolkan kekuatan masing-masing.

“Anda tidak akan kerap melihatnya (kerjasama). Turkiye sedang berurusan dengan Malaysia melalui kapasitinya untuk mengembangkan pasaran dan kerjasama dengan negara lain di ASEAN,” kata Perdana Menteri.

Erdogan yang tiba di Malaysia semalam diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke negara ini.

-- BERNAMA